Laporan Mingguan: Minggu 2
Pada minggu kedua perjalanan projek, aktiviti telah dimulakan dengan membuat pembentangan kepada pihak pentadbiran Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau pada 17 Oktober 2016 (Isnin) tentang projek yang akan dijalankan oleh Crystal Drop. Mereka turut memberikan beberapa komen dan perkara yang boleh dilakukan dengan lebih baik. Seterusnya, bendahari dan krew produksi juga menjalankan aktiviti pembelian untuk membeli bahan yang diperlukan dalam proses pembuatan Unit Penjimatan Air (UPA).

Seterusnya, pada 18 Oktober 2016 (Selasa), kami telah membuat pembentangan dan mempromosikan Unit Penjimatan Air kepada pelajar-pelajar Tingkatan Tiga di Dewan Sri Annau. Pada sebelah petang, krew produksi dan krew tapak memulakan proses pembuatan Unit Penjimatan Air (UPA) dengan bahan yang lengkap. Pada 19 Oktober 2016 (Rabu), kami telah menyimen lantai Green Toilet yang tidak rata dan berlubang. Kami juga memulakan aktiviti penjualan Unit Penjimatan Air di sekitar Pekan Tatau. Dalam masa yang sama kami juga membuat promosi kepada semua pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tatau dengan melekatkan poster di setiap kelas dan juga papan notis sekolah.



Selain itu, pada 20 Oktober 2016 (Khamis) kami mengedarkan kertas kerja kepada pihak sekolah rendah dan Penjabat Pentadbir Daerah Tatau untuk mendapatkan sokongan daripada pihak mereka. Krew tapak dan krew produksi juga meneruskan proses menyimen lantai. Pada 21 Oktober 2016 (Jumaat), krew tapak dan krew produksi juga meneruskan proses menyimen lantai di tapak projek.


